Catatan 4 - Siapa AKU sebelum bergelar NOVELIS?

Sebelum menjadi penulis bebas, aku adalah seorang STAF JURURAWAT berkelulusan Ijazah Kejururawatan dari Perth Australia.

Gambar sebelah ni, sewaktu aku & geng sedang mengikuti kursus OT Module ... Bilik bedah lee ... Dalam kursus ni lah, aku telah menyaksikan keajaiban kuasa TUHAN pada tubuh manusia ... Yang bestnya, geng aku ni sekarang semua dah jadi senior officer. Ada yang dah jadi tutor pun. Aku tu yang tengah.  Penulis BEBAS aje. Tapi aku sangat bahagia. Semua kita hidup berjangka hayat. Dan aku hanya ingin hidupku BAHAGIA.


Kemudian, aku menamatkan jawatan, lalu melamar pekerjaan sebagai Life Insurance Agent di AIA Co Ltd.


Gambar sebelah tu, sebenarnya malu aku nak letak. Sebab tu blur aje. Ni zaman kuno aku. Budak nurse naive yang baru nak jual insuran.  Tapi naive aku pun tika tu, dapat juga attend seminar ni di Bangkok. Ini syarikat insuran bayar tahu. Pasal pencapai aku le tika tu. Bukan senang nak terpilih ni ... Tengok le pakaian aku tu, pasal kuat sangat cari klien, sampai aku tak terbeli baju. Kuno betul!
 Semasa dalam kerjaya insuran itu, aku juga terlibat dalam berbagai perniagaan sendiri di bawah jenama syarikat sendiri, antaranya; event management, public seminar, dan motivasi.


Gambar ni, ketika aku mengadakan seminar di bawah jenama syarikat aku.  Nervous ni tahu.  My first experience.  Huh, bukan senang nak jadi macam HM Tuah & Dr Fadilah Kamsah.  Orang senang aje nak kritik.  Cuba try sendiri, ADA BERANI? Banyak perkara yang telah aku lakukan untuk maju dalam hidup.  Hingga aku tak berani kritik kalau aku sendiri belum merasa jatuh bangun dalam perkara tersebut.




Dan semua itu aku lakukan, atas dasar ingin melihat tahaf kemampuan aku dalam perniagaan.  Sebagai seorang Life Insurance Agent, aku selalu mengikuti seminar, kongres antarabangsa dan motivasi yang di kendalikan oleh syarikat, samada dalam negeri mahupun luar negeri.  Itulah yang membuatkan aku bersemangat untuk mencari tahaf kemampuan diri.  Seperti selalu aku didedahkan dengan ayat, SKY IS THE LIMIT!


Gambar sebelah ni, tika aku dah beberapa tahun dalam insuran. Ni di Bangkok, menghadari ASIA PACIFIC LIFE INSURACE CONGRESS (APLIC). Time ni, aku seronok sangat.  Sampai aku bergambar dengan beruang ni lah.  Banyak sangat kawan, hingga tak tahu nak bawa siapa bergambar dengan aku.  Lalu, aku pilihlah bergambar dengan beruang ni. Seronok betul hidup aku ...
Selepas 7 tahun sebagai Life Insurance Agent, aku pun mencuba-cuba untuk menulis skrip bagi sebuah rancangan motivasi belia untuk sebuah media tv kerajaan.  Bagaimana aku mendapat gerak hati untuk melibatkan diri dalam penulisan skrip? Mungkin ramai orang tak percaya.  Ia bermula dari sebuah MIMPI, selepas aku mengerjakan solat hajat. Dan aku percaya mimpi itu ilham dari TUHAN. Program tersebut pun berhasil.  Lalu, aku pun mendapat lagi satu job penulisan bagi program kesihatan TV, memandangkan aku pun bekas jururawat.


Ini cerpen aku yang pertama.  Dan percubaan pertama aku ni, terus terbit.  Dan seterusnya adalah sejarah.  Aku amat berterima kasih terutama pada abang sulung aku kerana beliaulah tukang hantar karya-karya aku ke syarikat penerbitan tempatan waktu tu.  Maklum, zaman tu belum ada internet. Jadi, semua pakai hantar sendiri ke pejabat.  Sekarang dah jauh berubah. Tapi kalau kita tak maju-maju juga, tak tahulah nak cakap apa!



Meskipun aku telah melalui semua ini dengan kepayahan kerana suatu hal yang tidak dapat aku landaskan di sini, namun, akhirnya aku nekad untuk berhenti dari menjadi agen insuran. Lalu, aku pun mendapat tawaran untuk menjadi PENERBIT di media tv kerajaan.  Mula-mula, aku tak nak terima.  Bila aku dinasihatkan bahawa untuk menjadi penulis yang baik dan mampu dalam berbagai genre program tv, aku mesti faham kerja-kerja dalam penerbitan.  Maka, aku pun menerima jawatan tersebut dengan suatu perasaan yang cemas.  Sebab, latar belakang aku bukan bahagian PENERBITAN.

Gambar sebelah tu pula adalah ketika skrip drama 13 episodku TAUTAN DI PEMATANG terpilih untuk produksi ... Entah, ini drama yang ke berapa, aku pun tak mengingat sangat. Malas aku nak mengingat. Cukup aku dibayar, sudah! Nama ... glamour semua ... aku tak harap sangatlah.  Glamour tak boleh beli nasi bungkus tahu. Semua pakai duit sekarang ni ... Bila aku meniti kejayaanku dalam drama tv ni, sering kali aku teringat satu HINAAN sebuah rumah produksi suatu waktu dahulu sebelum aku jadi penulis bebas.  Syukur, hinaan beliau itu yang telah membuat aku bergerak dengan gear 5 dlm dunia PENULISAN. Dan aku tidak pernah takut KRITIKAN dan KUTUKAN selepas itu.


Namun, setiapkali aku menceburi bidang berlainan dari latar belakang kelulusan aku, aku pasti TERINGAT pesanan pakar motivasi, 'seorang agen insuran yang berjaya akan juga mampu berjaya dalam apa pun bidang yang diceburi. Apa pun di bawah LANGIT sebab SKY IS THE LIMIT!'



Gambar sebelah ni pula, aku juga. Cuma terketar-ketar sikit. Maklum, pasal dapat hadiah PENULIS BAHANA KREATIF kelolaan Dewan bahasa & Pustaka Brunei bersama Syarikat Minyak SHELL Brunei.












Atas prinsip hidup yang aku amalkan bahawa aku tidak akan berlama-lama di satu-satu organisasi kalau aku merasa diriku tidak mampu maju atas sebab-sebab sistem yang menekan atau apapun yang mereka amalkan, lalu aku pun meletak jawatan.  


Gambar di sebelah tu sangat nostalgik.  Itu ketika aku mengikuti program JICA anjuran kerajaan Jepun bersama-sama pelajar-pelajar dari negara-negara ASEAN dan Jepun. Hehehe ... kamu takkan dapat cari wajahku di mana ... hahaha ...







Dan rezeki menyebelahi aku lagi.  Lalu aku pun berkerjasama dengan salah seorang penerbit radio untuk rancangan sejarah Brunei yang berlarutan hingga setahun.  Itulah detik-detik di mana aku mula menyedari kemampuan diri sendiri. Aku tahu, program sejarah purba Brunei bukan suatu subjek yang mudah!


Gambar di sebelah ni, di ambil ketika aku berada di SEE HOTEL Restoran di Amsterdam (Holland). Lupa juga aku, jangan-jangan ini di German. Huh ... malas aku nak ingat.  Semua tua-tua. Aku aje yang tuuu bertudung tu ... Huh ... bosan betul time ni!







Setelah program itu selesai, aku pun mendapat tawaran untuk berkerja di salah sebuah sekolah antarabangsa.  Dan di sana aku tidak bertahan lama.  Seperti prinsip hidupku, bilamana aku merasa diriku tertekan dan tidak mampu berkembang atas sistem kerja yang mereka amalkan, aku akan dengan sukarela meletak jawatan. Dan aku memang tidak suka menyalahkan orang lain atas kewujudan sistem mereka.  Kalau mereka merasa sistem yang mereka amalkan boleh menyebabkan mereka maju, itu hal mereka. 

Gambar sebelah tu ialah makanan yang aku order sewaktu dalam penerbangan AIRASIA, waktu nak pulang ke Brunei dari Karangkraf Shah Alam.  Nampak tak novel TRILLER pertama aku tu.  Huh, sungguh misteri waktu aku nak siapkan naskah hingga menjadi sebuah NOVEL yang cantik itu.  Tak kisahlah! Tapi, makanan sebelah tu, memang aku tak suka makan sebenarnya.  Tapi, dalam hidup ni, kadangkala, kita kena makan apa yang kita tak suka kerana makan tu penting.  Ia bukan persoalan samada ANDA suka atau tak ...



Dan sebagai manusia yang punya akal, aku juga berhak untuk berpendapat. Kalau kita hendak maju, kita mesti berani berpendapat dan mencabar pendapat orang lain. Jangan takut kalau KITA harus MATI kerana menegakkan pendapat sendiri.  Dan ingat, ANDA tidak akan dapat menjadi sesiapapun, melainkan menjadi diri anda sendiri!


Gambar sebelah ni, BIAWAK.  Ini bukan zoo tahu. Ini biawak yang datang ke taman rumah aku. Ini salah satu kisah misteri sepanjang aku menyiapkan naskah WAJAH SEIRAS CINTA. Belum lagi cerita ular hitam masuk rumah, jumpa kala jangking besar dekat pintu, ternampak lembaga duduk dalam rumah, dsbnya. Bacalah WAJAH SEIRAS CINTA, supaya anda faham apa yang aku maksudkan.  




Dalam kepayahan mengharungi hidup dengan pemikiran yang bercelaru, samada hendak menurut kehendak keluarga dan melamar pekerjaan di sektor kerajaan (di mana itulah pekerjaan yang menjamin kononnya) atau teruskan niat untuk terjun dalam bidang PENULISAN berbagai genre dan bergerak secara bebas. Memandangkan menjadi penulis di negara kecil dan terbatas projeknya ini, bukan mudah.  


Gambar sebelah tu, ketika menyemak kesilapan-kesilapan yang terdapat dalam WAJAH SEIRAS CINTA. Ni dalam perjalanan pulang ke Brunei.  Nampak tak biskut beruang tu? Membaca untuk cari KESILAPAN dengan membaca untuk menikmati JALAN CERITA sesebuah novel, tak sama tahu.  Ia adalah kerja membosankan, menyakitkan mata yang terpaksa dilalui oleh seorang PENULIS.




Namun, atas KEYAKINAN DIRI dan kepercayaan atas kebolehan diri sendiri serta keyakinan terhadap kekuasaan ALLAH, rezeki itu ALLAH yang memberi bukan manusia, akhirnya, berkat solat hajat dan solat Duha yang sentiasa jadi amalanku setiap hari insyaAllah, maka, projek penulisan pun berterusan hingga KINI. 

Alhamdulillah! Moga-moga, apapun masalah yang aku hadapi, projek penulisan tetap terus masuk dan masuk, ke tahaf hingga mampu menjana sumber kewangan MENDIRI bagi diriku. InsyaAllah!



Gambar sebelah ni, bukan cuma hiasan.  Ia adalah taman air dalam rumah aku yang banyaknya, apa yang ada dalam rumah aku ni, adalah dibina dari jerih payah bidang PENULISAN.







Justeru, BERANILAH UNTUK MAJU, WALAUPUN TERPAKSA MEREDAH KUTUKAN, KERANA SUATU KETIKA NANTI, ANDA AKAN TERKEJUT, NASIB BAIK BENAR-BENAR MEMBAWA ANDA KE SUATU DIMENSI KEJAYAAN YANG TAK PERNAH ANDA BAYANGKAN!

Catatan 3 - AKHIRNYA AKU NOVELIS

Salam sejahtera. Bagi anda yang telah membaca Novel Triller: WAJAH SEIRAS CINTA & khatam membacanya hingga ke akhir muka surat, aku ucapkan terima kasih. Moga, anda mendapat faedah dunia & akhirat untuk pelaburan cuma RM21.00.


Gambar sebelah ini diambil pada 6hb Mei 2011 (satu jam selepas azan Asar). Aku berangkat dari lapangan terbang antarabangsa Brunei untuk penerbangan ke LCCT Malaysia. Ini pun dah pasang niat MUSAFIR. Kelebihan seorang musafir itu ialah diharuskan melakukan solat JAMAK & QASAR. Suatu kelebihan yang tidak diberikan pada orang BERMUKIM. 






Bagi yang tak habis lagi membaca WAJAH SEIRAS CINTA kerana sudah merasa bosan pada pembacaan 10 muka surat pertama. Sila letak WAJAH SEIRAS CINTA ke tepi. Bawa bertenang & bila anda rasa tenang, bacalah kembali. Sudah hal biasa, pada awalnya, bila satu-satu karya itu tidak seperti dalam ekspektasi kita. Mengutuk itu juga hal biasa. Aku pun sama seperti anda.

Gambar sebelah tu pula adalah selepas beberapa minit touch down di LCCT. Dah nak masuk waktu MAGRIB pun. Telah lama aku tidak ke KL selepas tahun 1999. ketika itu, aku transit di KLIA untuk berangkat umrah ke Makkahtulmukarah / juga ketika menghadiri seminar insuran & motivasi di PWTC yang dianjurkan oleh MII / juga ketika mendapat insentif bercuti dari AIA, syarikat yang ku wakili selama 7 tahun.

Banyak karya-karya novel yang aku pernah langgani, sangat membosankan & tidak mencapai seperti ekspektasi. Tapi ternyata sekarang, karya-karya novel yang mula-mula aku tak suka itu, sekarang menjadi karya yang aku suka & telah berulang-ulangkali aku baca. Dan, ianya adalah karya-karya novel yang memberi impak positif pada diriku hingga kini.





Di Brunei aku dah pasang niat, sebaik sampai di terminal, aku nak cium bumi Malaysia untuk penyata kesyukuranku. Ternyata, atas niat yang baik, aku temui sebuah SURAU, lalu aku pun menyempati solat MAGRIB. Setelah hampir satu jam di terminal atas urusan itu & ini, lalu aku & seorang kawan pun menaiki bas dari LCCT ke KL CENTRAL cuma dengan RM8.00. Huh, seronok juga hati. Apa tak seronok, RM8.00 huhhhh. Sebab, waktu di Brunei aku nak sewa van THE QUALITY HOTEL dari perjalanan LCCT . Tapi, sewanya sekitar BND 60.00 sebab aku nak senang & selesa. Tapi, kalau aku sewa hari tu, tentu aku tak sempat nak cium bumi Malaysia direct on the dot.

Pernah tak anda mendengar, sepasang suami isteri yang ketika awal perkenalan mereka bermula dari episod-episod benci yang terlampau. Namun sudahnya berakhir di jinjang pelamin! Ada orang yang dicipta TUHAN, tidak akan pernah jatuh cinta pada pandangan pertama.  Tetapi setelah melalui proses PEMBENCIAN yang panjang, segalanya bertukar menjadi sayang oleh hanya satu BABAK yang tak disengajakan. Dan, ia adalah telah DITAKDIRKAN.

Ini Salina Salleh Novelis (akulah). Gambar diambil pada 7hb Mei 2011. Tahu apa niat aku waktu di Brunei sebaik aku masuk ke bangunan KARANGKRAF ini. Mestilah nak menghadiri MAJILIS PERJUMPAAN bersama-sama penulis di bawah KARANGKRAF. Dan lagi, aku nak jumpa penulis novel AKU KAN NOVELIS (terbitan Buku Prima). Ironinya, aku tak jumpa (tak datang kali). Kenapa aku suka novel tu? Sebab, dalam AKU KAN MOVELIS ada pendekatan ilmu INTERPERSONAL COMMUNICATION. Bacalah sendiri kalau nak tahu. Mula-mula, aku tak suka novel tu. Tapi, bila masuk muka surat sekian-sekian, aku terus jatuh cinta. Hingga sekarang aku baca novel tu dah lebih 20 kali. Dan aku masih mampu ketawa, menangis & kagum cara penulisan beliau. Ternyata, aku juga adalah salah seorang insan TUHAN yang tidak mudah jatuh cinta pada pandangan pertama.
Begitu juga pada karya-karya novel. Mungkin anda jatuh cinta pada sinopsis & ilustrasi depan sesuatu novel itu sehingga anda berekspektasi melebihi HAD. Lalu, anda mahu apa yang ada dalam ekspektasi anda ada juga dalam novel-novel yang anda beli.


Inilah editor WAJAH SEIRAS CINTA. Tak sangka. Sebelum ini kami hanya berhubungan melalui email & sekali melalui telefon. Tahu apa ekspektasi aku mengenai beliau sebelum bertemu. Ekspektasi aku ialah aku fikir editor aku ni orang dah berusia. Tapi bila bertemu, ternyata ekspektasi aku tersasar dari benar. Editor kurang lebih sama macam penulis in term of tekanan kerja. Kurang lebihlah!



Suatu kajian menunjukkan bahawa bila anda mahu sesuatu hal itu terjadi seperti ada dalam ekspektasi anda, sebenarnya anda telah menempah satu lagi kotak yang tidak ada satu lubang pun untuk bernafas. Maksudnya, anda sentiasa ingin pemikiran anda berada dalam kotak yang sempit yang hanya bergulir di dalamnya isu & agenda yang anda suka dalam hidup.  Sedangkan kenyataannya bahawa aku & anda hidup dalam dunia yang tidak cukup hanya dihadapi cabarannya dengan berekspektasi semata-mata.


Ini gambar masjid biru masjid terbesar di ASIA (yang aku bacalah). Dan, sewaktu di Brunei aku dah pasang niat nak menjejakkan kakiku di masjid ini. Kebetulan juga THE QUALITY HOTEL & KARANGKRAF berada di SHAH ALAM. Aku pasang lagi niat untuk melaksanakan solat ASAR di masjid ini. Ternyata aku telah melunasinya. Suatu perasaan luar biasa hebat terselit tiba-tiba sebaik aku selesai solat di masjid ini. Aku yakin KITA boleh jadi siapa sahaja yang KITA mahu menjadi bila KITA sentiasa melandaskan TUHAN itu di depan dari setiap perancangan KITA.



Akhirnya, aku BERHARAP anda tidak berputus asa dari membaca WAJAH SEIRAS CINTA kerana setiap PENA itu ilhamnya dari TUHAN pemilik perbendaharaan Luh Mahfuz yang hebat.
Yang sebelah aku tu, kawan aku. Inilah kawan antara  sedikit yang aku pertahankan setelah aku menjadi PENULIS BEBAS. Apa? Kawan aku lawa dari aku? Dia memang lawa. Maklum pelakun untuk drama aku TAUTAN DI PEMATANG. Aku lawa juga. Anda saja yang tak nampak. Kawan aku nilah yang sentiasa berkata padaku sejak di Brunei yang aku telah melakukan sesuatu yang impossible sebenarnya. Tapi aku sering cakap, "Alaaa, menulis novel triller aje. Biasa saja pun. Tak ada luar biasanyalah." Namun, setelah tayar pesawat menyentuh bumi Brunei, aku mula merasa bahawa apa yang aku telah lakukan itu adalah impossible sebenarnya. Doaku moga-moga aku terus maju jaya dalam dunia penulisan novel kreatif di Alaf 21. Dan harapanku juga, anda semua PENYOKONG-PENYOKONG setia. Bukan hanya setia membeli, membaca, mengkhatamkan, malah, setia mengutuk. KITA akan menjadi manusia hebat melalui proses KUTUKAN. Sepertimana, aku telah berani melalui begitu banyak kritikan sejak menceburi banyak genre penulisan di negaraku sendiri. InsyaAllah!

Catatan 2

DENGAN nama Allah yang maha pengasih, penyayang. Semalam, aku membaca Surah Al-Qalam iaitu surah ke 68 Juz 29. Penterjemah telah menulis sebuah hadis dilandaskan pada ayat 1, iaitu; kenapa Tuhan memulakan Surah Al-Qalam dengan huruf NUN?
     Kala itu juga, kerisauan sedang menerjang minda. Mampukah aku menyiapkan pindaan drama remaja 13 episod ini sebelum 30Mei? Bagaimana penerimaan pembaca terhadap novel trillerku yang pertama; Wajah Seiras Cinta? Dan, banyak lagi yang meredah begitu kasar dan meresahkan di benak minda.
     Seorang ustaz pernah menasihatkan ku suatu waktu dahulu, supaya sepanjang hayatku dipenuhi dalam mengkaji ayat-ayat al-Quran. Bacalah al-Quran di kala senang maupun susah. Kerna, al-Quran itu mampu bercerita kepadamu akan sesuatu bagai memberi jawapan pada apa yang terdetik di benak minda.
     Langsung, aku menemui hadis riwayat Ibnu Abbas yang dilandas penterjemah pada ayat 1surah Al-Qalam: Sesungguhnya, makhluk yang pertama dicipta Allah itu ialah QALAM atau PENA.  Kemudian, Allah berfirman kepada QALAM, "Tulislah!" Pena bertanya, "Apa yang akan saya tulis?" Lalu kata Allah, "Tulislah keadaan yang telah lalu, juga keadaan yang sedang berlaku dan juga yang akan berlaku sampai hari kiamat, dari jenis amalan manusia atau ajalnya atau rezekinya atau kesannya." Maka, QALAM pun melaksanakan perintah Allah itu dengan menulis terus menerus apa yang akan berlaku sampai hari kiamat.
     Betapa hebatnya peranan QALAM ini dalam memajukan dan mentamadunkan manusia.  Hingga nabi sendiri bersabda, 'Tuntutlah ilmu walaupun sampai ke Negeri Cina.' Aku mula didengarkan pada hadis Rasulullah itu sejak darjah 1 sekolah agama lagi.  Tapi, aku tak faham apa maksud hadis tersebut. Bagi aku nabi suruh menuntut ilmu walaupun hingga ke Negeri Cina, fasal Negeri Cina itu jauh dari tanah arab.  
     Seorang penerbit dari rangkaian Radio Nasional, menghubungiku untuk membuat slot 3-5 MIN 'RISTAAN DARUSSALAM'. Iaitu, mengenai sejarah Brunei dari awal sebelum bermulanya era kesultanan di Brunei lagi yang keudara setiaphari. Lalu, aku pun bersetuju tanpa bertanya berapa bayaran yang akan aku perolehi dari projek sejarah yang boleh tahan sukarnya itu.  Terutama sekali dalam membuat kajian dan mencari bahan-bahan rujukan. Ternyata, projek itu berlarutan hampir 1 tahun.
     Diringkaskan cerita, aku pun menemui suatu teks yang menyatakan bahawa awal kewujudan Brunei itu ada tertulis dalam catatan DINASTI CINA. Jauh sebelum bermulanya era kesultanan di Brunei lagi.
Langsung, aku seperti mendapat jawapan dari hadis Rasulullah yang telah ku dengar sejak darjah 1 sekolah agama itu.  Aku yakin, bahawa Rasulullah menyuruh seluruh umat untuk mencontohi bangsa Cina yang telah awal bertamadun dalam bidang penulisan.  Setiap maharaja Cina akan sentiasa membawa pencatat-pencatat mereka.  Hingga kini, catatan tersebut ada berjual di negara tersebut. Sungguh hebat! 
    Apakah peranan penulis di akhir zaman ini? Apakah seorang penulis itu hanya perlu cukup berbangga dengan karya novel cinta yang terlaris di pasaran? Tanpa ada ruang-ruang untuk melakukan eksperimentasi dalam karya-karya, supaya karya-karya tersebut terangkat tahafnya bukan sekadar disantap oleh anak-anak remaja dan muda mudi yang kemaruk dengan jalan cerita yang menghidangkan isu-isu permangsaan dalam percintaan, kasih sayang dan rumah tangga. Nah, andai itu terjadi, Bangsa Melayu itu akan mengalami minda terpuruk dalam isu yang klise namun sedap dibuai-buai di awang-awangan. Sedang semua kita akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak termasuk impak penulisan KITA pada masyarakat umum. Maka, amat jauh lagi kita untuk mencapai tahaf penulisan negara-negara maju yang tulisan novel mereka bukan hanya disantap oleh remaja-remaja dan belia-belia, namun juga masyarakat intelek yang bukan membaca novel sekadar mengetahui jalan cerita, malah mengkritik dari content ilmu.  Hanya dengan ilmu minda manusia itu bisa maju. Wassalam!    

Catatan - 1

1
...
Malam ini aku tidak mampu melelap mata. Sama seperti malam-malam kebelakangan ini.  Entah apa masalah aku sebenarnya.  Apakah aku risau dengan penerimaan pembaca pada novel trillerku yang pertama WAJAH SEIRAS CINTA edisi TRIONOVEL MEI 2011? Atau, mungkinkah kerana kerja-kerja penulisan yang banyak? Siap satu job, datang lagi satu job. Rasa hati, memang hendak quit saja dari menulis skrip drama & skrip-skrip lainnya.  Sebab, aku teringin sangat memberi tumpuan sepenuhnya pada menyiapkan novel kedua.  Tetapi, memandangkan aku perlu fulus.  Maklum, aku ini cuma penulis bebas.  Yalah, bila tiada projek, habis aku hendak makan apa?
Saat-saat jejari ku merenjuh pepunat huruf di papan kekunci lap topku ini, tiba-tiba, komen penilai pada skrip drama remaja13 episod ku itu menerjang kotak minda.  Sudahnya, aku cuma mampu mendengus di pagi-pagi buta ini.  Yalah, sudah dasar warga emas jadi penilai bagi skrip drama remaja.  Atau, orang yang cuma belajar teori disuruh menilai skrip untuk diterbitkan.  Apalah tahunya mengenai penerbitan drama.  Contoh, perkataan 'air con' disuruh tukar jadi 'pendingin hawa'. Adakah anak remaja yang mengunakan perkataan 'pendingin hawa' dalam dialog mereka? Aku faham, perjuang Bahasa Melayu akan berjuang sejuang-juangnya.  Aku juga belajar komunikasi dua hala sewaktu menuntut bidang ijazah kejururawatan di Perth dahulu.  Pengkaji bahasa itu perlu melihat dari aspek holistik manusia itu sendiri.  Dan tidak rigid & justified dalam penilaian mereka semata-mata kerana mengikut fahaman teori yang mereka pelajari di universiti. Tanpa melihat & turun sama menyelami arus realiti kehidupan itu sendiri.
Berkerjasama dengan media kerajaan membuatkan aku kian jelas akan tanggungjawab penulis dalam menyampaikan aspirasi kerajaan dalam setiap skrip-skrip mereka.  Tetapi, dapatkah aspirasi kerajaan itu tercapaikan pada rakyat jelata bilamana pengisian rancangan dalam media kerajaan itu sendiri tidak menarik minat penonton di kalangan rakyat jelata itu sendiri?  Lantas, aspirasi kerajaan entah ke mana, dan media kerajaan juga membazir wang dalam menerbitkan rancangan-rancangan yang tidak memenuhi permintaan penonton.  Bukankah membazir itu sahabat syaitan? Bukankah syaitan itu makhluk Allah yang terlaknat hingga ke hari kiamat?

  
 

Copyright © 2010 • Salina Salleh Novelis • Design by Dzignine