Catatan 2

DENGAN nama Allah yang maha pengasih, penyayang. Semalam, aku membaca Surah Al-Qalam iaitu surah ke 68 Juz 29. Penterjemah telah menulis sebuah hadis dilandaskan pada ayat 1, iaitu; kenapa Tuhan memulakan Surah Al-Qalam dengan huruf NUN?
     Kala itu juga, kerisauan sedang menerjang minda. Mampukah aku menyiapkan pindaan drama remaja 13 episod ini sebelum 30Mei? Bagaimana penerimaan pembaca terhadap novel trillerku yang pertama; Wajah Seiras Cinta? Dan, banyak lagi yang meredah begitu kasar dan meresahkan di benak minda.
     Seorang ustaz pernah menasihatkan ku suatu waktu dahulu, supaya sepanjang hayatku dipenuhi dalam mengkaji ayat-ayat al-Quran. Bacalah al-Quran di kala senang maupun susah. Kerna, al-Quran itu mampu bercerita kepadamu akan sesuatu bagai memberi jawapan pada apa yang terdetik di benak minda.
     Langsung, aku menemui hadis riwayat Ibnu Abbas yang dilandas penterjemah pada ayat 1surah Al-Qalam: Sesungguhnya, makhluk yang pertama dicipta Allah itu ialah QALAM atau PENA.  Kemudian, Allah berfirman kepada QALAM, "Tulislah!" Pena bertanya, "Apa yang akan saya tulis?" Lalu kata Allah, "Tulislah keadaan yang telah lalu, juga keadaan yang sedang berlaku dan juga yang akan berlaku sampai hari kiamat, dari jenis amalan manusia atau ajalnya atau rezekinya atau kesannya." Maka, QALAM pun melaksanakan perintah Allah itu dengan menulis terus menerus apa yang akan berlaku sampai hari kiamat.
     Betapa hebatnya peranan QALAM ini dalam memajukan dan mentamadunkan manusia.  Hingga nabi sendiri bersabda, 'Tuntutlah ilmu walaupun sampai ke Negeri Cina.' Aku mula didengarkan pada hadis Rasulullah itu sejak darjah 1 sekolah agama lagi.  Tapi, aku tak faham apa maksud hadis tersebut. Bagi aku nabi suruh menuntut ilmu walaupun hingga ke Negeri Cina, fasal Negeri Cina itu jauh dari tanah arab.  
     Seorang penerbit dari rangkaian Radio Nasional, menghubungiku untuk membuat slot 3-5 MIN 'RISTAAN DARUSSALAM'. Iaitu, mengenai sejarah Brunei dari awal sebelum bermulanya era kesultanan di Brunei lagi yang keudara setiaphari. Lalu, aku pun bersetuju tanpa bertanya berapa bayaran yang akan aku perolehi dari projek sejarah yang boleh tahan sukarnya itu.  Terutama sekali dalam membuat kajian dan mencari bahan-bahan rujukan. Ternyata, projek itu berlarutan hampir 1 tahun.
     Diringkaskan cerita, aku pun menemui suatu teks yang menyatakan bahawa awal kewujudan Brunei itu ada tertulis dalam catatan DINASTI CINA. Jauh sebelum bermulanya era kesultanan di Brunei lagi.
Langsung, aku seperti mendapat jawapan dari hadis Rasulullah yang telah ku dengar sejak darjah 1 sekolah agama itu.  Aku yakin, bahawa Rasulullah menyuruh seluruh umat untuk mencontohi bangsa Cina yang telah awal bertamadun dalam bidang penulisan.  Setiap maharaja Cina akan sentiasa membawa pencatat-pencatat mereka.  Hingga kini, catatan tersebut ada berjual di negara tersebut. Sungguh hebat! 
    Apakah peranan penulis di akhir zaman ini? Apakah seorang penulis itu hanya perlu cukup berbangga dengan karya novel cinta yang terlaris di pasaran? Tanpa ada ruang-ruang untuk melakukan eksperimentasi dalam karya-karya, supaya karya-karya tersebut terangkat tahafnya bukan sekadar disantap oleh anak-anak remaja dan muda mudi yang kemaruk dengan jalan cerita yang menghidangkan isu-isu permangsaan dalam percintaan, kasih sayang dan rumah tangga. Nah, andai itu terjadi, Bangsa Melayu itu akan mengalami minda terpuruk dalam isu yang klise namun sedap dibuai-buai di awang-awangan. Sedang semua kita akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak termasuk impak penulisan KITA pada masyarakat umum. Maka, amat jauh lagi kita untuk mencapai tahaf penulisan negara-negara maju yang tulisan novel mereka bukan hanya disantap oleh remaja-remaja dan belia-belia, namun juga masyarakat intelek yang bukan membaca novel sekadar mengetahui jalan cerita, malah mengkritik dari content ilmu.  Hanya dengan ilmu minda manusia itu bisa maju. Wassalam!    
 

Copyright © 2010 • Salina Salleh Novelis • Design by Dzignine